Monday, February 25, 2013

Sejarah Sekolah

SMKSAS  pada asalnya terletak di atas sebidang tanah yang merupakan sebuah ladang seluas 7.3 hektar yang merupakan hak milik orang melayu. Kemudian ia telah dijual kepada seorang pekebun berbangsa cina, En. Ng Ah Siu. Akhirnya Kementerian Pendidikan dengan persetujuan Jabatan Tanah dan Galian Perak membeli daripada beliau untuk dijadikan tapak bangunan sekolah di bawah Projek Pinjaman Bank Dunia Kelima.

Menurut cerita Tuan Haji Kassim, Ketua Kampung Changkat Berangan (1983) tempat ini merupakan  tempat  persembunyian Tentera British Malaya dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam usaha untuk membanteras Komunis. Pada  masa darurat (1948-1960) beratus-ratus tahun pahlawan tanah air telah gugur di sini demi mempertahankan tanah air tercinta. Kini, kawasan yang penuh dengan sejarah ini telah didirikan sebuah sekolah menengah yang diharap dapat melahirkan anak-anak bangsa yang dapat berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Pembinaaan sekolah ini telah dimulakan pada bulan September 1981 dan siap sepenuhnya pada bulan Januari 1984. Ia terdiri daripada 2 buah bangunan 3 tingkat, sebuah bengkel Seni Perusahaan, sebuah lagi bangunan tambahan setingkat dibina yang terdiri daripada 6 buah bilik darjah. Padang permainan bola sepak dan permainan-permainan lain turut disediakan.


Januari 1983 sekumpulan pelajar seramai 130 orang menempa sejarah melalui sesi pertama persekolahan mereka di sekolah menengah baru ini. Walau bagaimanapun, mereka pada mulanya menumpang di Sekolah Menengah Baru, Lenggong (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz). Pada 1 Februari 1983, sekumpulan pelajar tersebut telah dipindahkan ke sekolah ini.

Pada bulan 1984, bilangan pelajar telah bertambah menjadi 310 orang dengan 20 orang tenaga pendidik termasuk 5 guru siswazah. Manakala terdapat 5 kakitangan sokongan iaitu  seorang pegawai Kerani, seorang Pembantu Makmal, 2 orang Pembantu Am Rendah dan 2 orang Pekerja Am.

Suatu lagi sejarah tercipta di sekolah beruah ini pada 26 November 1984. Apabila D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak iaitu Sultan Azlan Shah Muhibbudin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuff Izzudin Ghafarullahu-lahu Shah telah mencemarduli hadir untuk merasmikan dan menamakan sempena nama Baginda iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Azlan Shah (SMKSAS).

Bilangan pelajar meningkat kepada 500 orang dan tenaga pengajar kepada seramai 30 orang pada 1985. Pada tahun itu juga, buat pertama kalinya seramai 100 orang pelajar menduduki SPR dan 58 orang menduduki SPM. Pada tahun 1989, disebabkan oleh pertambahan pelajar dan perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, sebuah bangunan tambahan yang dikenali sebagai Bangunan KBSM telah dibina. Bangunan tersebut mengandungi 2 bilik darjah, sebuah bilik sembahyang dan sebuah bengkel kerja paip untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup (KH).



Pada tahun 1993, Srikandi Negara Wardati Bt Mohamed yang berasal dari Kampung Beng telah muncul. Keberanian beliau telah menjadi kebangaan dan kemegahan sekolah. Pada awal 1999, sebuah bangunan tambahan telah dibina yang mengandungi 4 buah kelas. Kini,SMKSAS telah berusia lebih dari 20 tahun.

Ramai di kalangan pelajar-pelajar keluaran sekolah ini telah melanjutkan pelajaran dan menjawat jawatan penting. Tidak kurang juga yang berkecimpung sebagai ahli perniagaan dan usahawan yang berjaya. Berbagai-bagai perubahan dan kemajuan telah berlaku di SMKSAS yang semakin matang dalam meneruskan visi kecermelangannya. Semoga visi dan misi sekolah akan tercapai menjelang 2015. Insyaallah
Copyright 2013 All Right Reserved by SMK Sultan Azlan Shah